Sunday, 27 November 2011

Kekalahan Malaysia sukar diterima


 Isnin, 28 November 2011

Mahalli Jasuli (kanan) mengejar bola semasa menentang Bahrain dalam perlawanan Kumpulan C Pusingan Kelayakan Olimpik di Bukit Jalil pada 27 November 2011.
 
           
KUALA LUMPUR,  - Biarpun Bahrain bermain dalam sepuluh pemain, namun Malaysia gagal mengekang kemaraan mereka apabila tewas 3-2 dalam perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik, Kumpulan C, di Stadium Bukit Jalil.
Apa yang lebih sukar untuk diterima peminat, Bahrain hanya mengambil masa lima minit pada babak kedua untuk mencapai kemenangan selepas ketinggalan 2-0. Bahrain bangkit menerusi jaringan Saad Salah Al Amer pada minit ke-80 dan dua gol oleh Isa Ahmed Muthanna pada minit ke-85 dan 86.
Pada awalnya, rembatan luar kotak penalti oleh Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-27 meletak Malaysia didepan dengan kedudukan 1-0. Nazmi yang mengawal kemas hantaran jauh daripada bawah, berjaya melepaskan rembatan di luar kotak penalti ke arah sudut kanan gol untuk menewaskan penjaga gol Bahrain, Ashraf Waheed.
Gol tersebut nyata menaikkan semangat Malaysia untuk melakukan serangan demi serangan, sekaligus mengubah corak permainan untuk lebih agresif.
Tersentak dengan gol tersebut, Bahrain turut melakukan serangan-serangan berbahaya di kubu Malaysia. Fahad Tareq menerima nasib malang apabila menerima kad merah selepas mengasari Mohd Affize Faizal pada minit ke 55, dalam pada ketika dia turut mengerang kesakitan.
Dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol Bahrain, Mahali Jasuli kemudiannya tampil menjaringkan gol kedua pada minit ke 60.
Kehilangan Nazmi akibat kecederaan nyata mencacatkan corak permainanan Malaysia. Malah, kelekaan benteng pertahanan negara membawa padah apabila Bahrain mula mengatur gerakan pantas dan teratur untuk memburu gol.
Sorakan penyokong di stadium tiba-tiba senyap apabila Bahrin meraih gol pertama mereka menerusi Saad Salah pada minit ke-80. Pada minit ke 85, Bahrain menyamakan kedudukan menerusi Isa Ahmed, sebelum dia sekali lagi merembat masuk seminit kemudian, hasil daripada sepakan percuma untuk menewaskan Kharul Fahmi Che Mat.
Sebelum itu, peluang kemasan diperolehi Wan Zack Haikal tetapi, gagal disempurnakan dengan baik pada minit ke-8. Di awal permainan, Bahrain turut memiliki peluang terbaik apabila hantaran cantik melewati pintu gol yang terbuka luas, gagal disempurnakan oleh Sami Mohamed pada minit ke-17.
Pada minit ke-37, Thamil Arasu dilayangkan kad kuning kerana tidak mengendahkan tiupan wisel pengadil selepas dia berada dalam kedudukan ofsaid.
Penampilan Wan Zack Haikal tidak begitu menyerlah dan tambahan pula dia mengalami kecederaan, membuatkan Ong Kim Swee terpaksa menggantikannya dengan Shahrul Azwari pada minit ke-40.
Harapan Malaysia untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2012 semakin pudar selepas menerima kekalahan ketiga itu dan ia adalah kemenangan pertama Bahrain dalam kumpulan C.
Malaysia dijadualkan menentang Bahrain pada perlawanan timbal balik pada 5 Februari depan sebelum menerima kunjungan Jepun pada 22 Feb depan dan menutup aksi kumpulan dengan menentang Syria pada 14 Mac nanti. 

No comments:

Post a Comment